10 Oktober 2026 | Kolej Yayasan UEM, Selangor
Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru telah berjaya meraih tempat kelima daripada 10 buah sekolah dalam peringkat akhir National Young Investor Challenge (NYIC) 2026 yang berlangsung pada hari Sabtu, 10 Oktober 2026, bertempat di Kolej Yayasan UEM, Selangor.
Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat sekolah apabila pasukan SMIH berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir selepas menduduki tempat ketiga daripada 39 buah sekolah di seluruh negara dalam pusingan pertama pertandingan yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2026.
Pertandingan ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pelaburan, di samping memupuk pemikiran kritis, kemahiran membuat keputusan kewangan serta semangat kerjasama berpasukan.
Penyertaan ini juga memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kepentingan literasi kewangan dan pengurusan pelaburan yang bijak.
Senarai Peserta SMIH terdiri dari empat orang pelajar Tingkatan 4 Imtithal iaitu:
1.Mohamed Thoufeeq bin Mohd Shahidan
2.Muaz Hazim bin Mazlan
3.Muhammad Hakim Zuhairi bin Mohd Ariffanan
4.Zarif Iskandar bin Muhammad
Pasukan ini dibimbing oleh Ustazah Siti Suhailah Tasmon dan Ustaz Muhammad Farid bin Mohamed Nazari
Sokongan Koperasi Sekolah
Penyertaan dalam NYIC 2026 turut menjadi salah satu aktiviti yang menyokong usaha Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru Berhad (KOPSMIH) dalam memperkukuh pendidikan kewangan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
KOPSMIH telah memainkan peranan penting dengan memberikan sokongan serta membantu menaja program ini sejak peringkat awal sehingga ke peringkat akhir. Sokongan tersebut telah membantu memberikan peluang kepada para pelajar untuk menimba pengalaman, mengasah potensi diri dan mengaplikasikan pengetahuan dalam bidang pelaburan.
Penghargaan dan terima kasih
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada Puan Pengetua, Ustazah Seri Juli Emas Wati Adnan, Penolong Kanan Akademik, Puan Mashida Sakrani, barisan penolong kanan, guru-guru serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan, dorongan dan kerjasama sepanjang penyertaan pasukan SMIH dalam pertandingan ini.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta, guru pembimbing dan semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan ini. Semoga pengalaman yang diperoleh menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik, kewangan dan keusahawanan pada masa hadapan.
SMIH terus melangkah maju melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing!
Disediakan oleh:
Siti Suhailah Tasmon
Guru Penyelaras Prinsip Perakaunan
Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru




