Pada Selasa, 6 Mei 2025, Sekolah Menengah Islam Hidayah telah menerima lawatan muhibbah daripada rombongan SMPIT Samawa Cendekia, Sumbawa, Indonesia yang terdiri daripada 6 orang guru pengiring dan 21 orang murid.
Rombongan tiba sekitar jam 8.30 pagi dan disambut dengan mesra oleh pihak sekolah. Lawatan dimulakan dengan sesi bergambar kenang-kenangan bersama warga sekolah, diikuti dengan peluang menyaksikan pelepasan acara Merentas Desa yang berlangsung di padang sekolah. Suasana meriah dan penuh semangat ini memberi pengalaman unik kepada para pelawat untuk melihat sendiri aktiviti tahunan yang menjadi kebanggaan warga Sek Men Islam Hidayah.
Selepas itu, para pelawat dibawa untuk melawat sekitar kawasan sekolah, termasuk kemudahan pembelajaran yang menyumbang kepada pembentukan pelajar holistik. Lawatan turut memberi peluang kepada pelajar SMPIT Samawa Cendekia untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar Hidayah serta memahami pendekatan pendidikan yang diamalkan.
Sebelum bertolak pulang, rombongan dijamu makan tengah hari di kantin sekolah. Sekitar 1.30 tengah hari, rombongan bertolak pulang. Lawatan ini telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara dua institusi pendidikan Islam serantau, serta membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan kefahaman budaya pendidikan antara dua negara jiran. Semoga ukhuwwah yang terjalin ini akan terus berkembang demi manfaat generasi akan datang.






