SMIHJB | LAPORAN LARIAN AMAL PEI CHUN 2026

Larian Amal Pei Chun 2026 telah berlangsung pada 1 Mei 2026 bertempat di Sekolah Menengah Pei Chun, Pontian, Johor, bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada murid banin dan banat SMIH JB telah mengambil bahagian dalam program ini dengan penuh semangat dan disiplin tinggi.

Penganjuran larian ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara dua buah sekolah yang telah lama terjalin, di samping menjadi platform program silang budaya. Para peserta turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat Cina di Malaysia, sekali gus memupuk sikap saling menghormati dan memahami kepelbagaian kaum dalam kalangan pelajar. Sepanjang program berlangsung, cuaca berada dalam keadaan baik dan semua peserta berjaya menamatkan larian dengan jayanya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Program ini jelas mencerminkan semangat “Da’wah through sport” apabila aktiviti sukan dijadikan medium untuk membina ukhuwah, disiplin dan nilai murni dalam kalangan pelajar. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling mengenali.”

Ayat ini bertepatan dengan objektif program yang menekankan kepentingan saling mengenali dan menghormati antara budaya.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa yang telah memberi sokongan dengan menghantar anak-anak menyertai program ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pihak pengurusan sekolah, khususnya Pengetua dan Penolong Kanan Kokurikulum yang telah memberikan kebenaran kepada murid untuk menyertai larian ini.

Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan, di samping memberikan pengalaman bermakna kepada semua peserta.

Ustaz Amin
Pengiring Murid

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda