SMIHJB | LAPORAN PERASMIAN SAMBUTAN PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN 2022

Hari ini Isnin bertarikh 8 Ogos 2022 dalam sejarah, satu lagi antara majlis penting di Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) iaitu Majlis Perasmian Pelancaran Bulan Kebangsaan telah berjaya disempurnakan di Dataran SMIH. Alhamdulillah, majlis berlangsung dengan rasa sukur, gembira dan meriahnya semasa sesi perhimpunan rasmi sekolah. Pada masa yang sama, majlis dimeriahkan lagi dengan Pentauliahan Koperal KRSM bagi murid Tingkatan 2, Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 seramai 156 orang.

Sambutan Bulan Kebangsaan tidak akan lengkap dan berjaya dijalankan tanpa sokongan Puan Pengetua SMIH iaitu Ustazah Seri Juli Emas Wati Binti Adnan yang sangat dedikasi dan tidak putus-putus memberikan sokongan kepada semua ahli jawatan kuasa program. Sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dijayakan oleh barisan Jawatan kuasa Unit Pelancaran, Unit Multimedia, Unit Bendera Jalur Gemilang dan Unit Susunan Tempat. Beberapa orang guru bertungkus-lumus seperti Ustaz Mohammad Shukri, Ustaz Imran, Ustaz Baihaqi, Ustaz Azmeen, Ustazah Fazureen dan Ustazah Afifah telah menjalankan tugas-tugas belakang tabir sebelum dan semasa majlis berlangsung.  

Dalam sesi 30 minit, majlis pelancaran dimulakan dengan kata alu-aluan pengerusi majlis pelancaran oleh Ustazah Ezafahrina Binti Ezuddin. Kemudian, majlis diwarnai dengan kibaran bendera Jalur Gemilang oleh seluruh warga SMIH dengan nyanyian 3 buah lagu patriotik iaitu Jalur Gemilang, Warisan dan Keluarga Malaysia.  Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Pengarah Bulan Kebangsaan 2022 iaitu Ustazah Nur Hidayah Binti Kusan dan diiringi dengan ucapan perasmi oleh Tuan Haji Hassan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah.

Majlis dimeriahkan lagi dengan gimik persembahan silat oleh 2 orang murid. Persembahan ini juga sebagai lambang kekuatan pejuang-pejuang tanah air yang telah membela negara. Selain itu, 4 orang penyanyi utama iaitu murid Tingkatan 5 yang membawa kotak gimik misteri untuk dibawa ke perasmi sebagai tanda perasmian. Perasmi diiringi oleh Ustaz Rapii Bin Salam iaitu Timbalan Pengarah Bulan Kebangsaan ke pentas untuk upacara perasmian. Perasmi melaksanakan upacara perasmian dengan melekatkan tema ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ dan menandatangani sebagai simbol tanda rasmi di banner sambutan.

Majlis diteruskan lagi dengan persembahan hebat Dikir Barat oleh murid-murid Tingkatan 4. Seramai 28 orang murid Tingkatan 4 yang terlibat dalam Majlis Ihtifal (Batch Altair) 2022 dibawa semula ke pentas Dataran SMIH untuk mempersembahkan Dikir Barat yang bertajuk Dikir Puteri dan Anta Permana. Persembahan hebat tersebut dibimbing oleh Ustazah Dira Faizan Binti Che Amaran. Di penghujung sesi, majlis ditutup dengan bacaan doa oleh murid.

Seluruh warga SMIH sangat gembira dan bangga apabila mendengar lagu berkumandang di udara. Secara tidak langsung, perasaan kasih dan cinta akan negara tertanam dalam jiwa murid-murid. Aktiviti seperti ini mesti diadakan setiap tahun agar diri setiap warga negara Malaysia sentiasa terukir dalam jiwa masing-masing. Kibaran Jalur Gemilang di segenap pelosok negeri melambangkan semangat cinta akan tanah air.

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda