SMIHJB | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (MAT) KOPERASI SEKOLAH MENENGAH ISLAM HIDAYAH KALI KE-9 TAHUN 2022

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah (Kopsmih) Kali ke-9 telah dapat diadakan secara bersemuka pada hari Selasa, 31 Mei 2022. Mesyuarat telah berlangsung di Dewan Tabuk Sekolah Islam Hidayah bermula jam 8.45 hingga 10.00 pagi.

Mesyuarat telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Jelani bin Ramly, Ketua Esekutif Pusat Pendidikan Hidayah. Turut serta dalam mesyuarat ialah  Puan Hajah Supiah binti Samsuri, selaku wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Alhamdulillah, kehadiran anggota seramai 534 orang yang terdiri daripada murid tingkatan 1, 2, 4 , 5 dan guru-guru juga  dapat memeriahkan lagi mesyuarat setelah dua tahun tidak dapat dijalankan secara bersemuka.

Meskipun sepanjang tahun 2020-2021, rata-rata sektor perniagaan mengalami keuntungan yang agak merosot dan laluan keuntungan yang diraih agak perlahan, namun sokongan daripada anggota secara berterusan dengan membeli barangan di koperasi dapat mengekalkan jualan. Penjualan barangan seperti buku-buku, pakaian dan minuman memudahkan anggota mendapatkan barang-barang keperluan mereka di koperasi. Tambahan pula, bisnes baru seperti penjualan produk frozen dapat meningkatkan lagi hasil jualan di koperasi. Hal ini dapat dibuktikan daripada laporan kewangan tahun 2021, perbandingan pendapatan KOPSMIH pada tahun kewangan 2020 ialah RM108,119.52 dan untuk 2021 adalah RM60,723.65. Walaupun mengalami kemerosotan keuntungan sebanyak 43.88%, kopsmih dapat mengekalkan pemberian dividen sebanyak 10% kepada anggotanya.

Seramai 11 orang anggota Lembaga Koperasi yang terdiri daripada kalangan guru SMIH dan 4 orang murid daripada tingkatan 2 dan 3 telah dilantik bagi sesi 2022. Semoga anggota Lembaga yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan baik sesuai dengan moto Kopsmih, “Muafakat Membawa Barakah”.

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda