SMIHJB | PROGRAM PASCA SPM NEXUS

Alhamdulillah, program istimewa buat Batch ke 26 Nexus iaitu PASCA SPM NEXUS telah melabuhkan tirai pada 8 Feb 2025. Program Pasca SPM merupakan program tahunan dan wajib bagi setiap pelajar Sek Men Islam Hidayah. Oleh itu sebaik selesai kertas terakhir iaitu Pendidikan Quran dan Sunnah(PQS), keesokan harinya bermula 6 Feb hingga 8 Feb 2025 seramai 125 orang telah mengikuti program yang dirancang oleh para guru penyelaras tarbiah Ting 5 dengan kerjasama Guru SEP, Murabbi dan mentor.

Program tahun ini dijalankan secara kolaborasi SMIH dan IKRAM MUDA negeri Johor. Program PASCA SPM ini juga mendapat beberapa penajaan antaranya IKRAM Negeri Johor, Koperasi SMIHJB dan Yayasan Pendidikan Hidayah (YPH).

Hari pertama peserta melakukan aktiviti Rehlah Tarbawi berbentuk explore race di sekitar Masjid dan AEON Bandar Dato’ Onn. Tema explore race ialah 7 golongan yang mendapat naungan arasy. Hari kedua pula peserta menjalani aktiviti street dakwah dan social experiment di beberapa tempat antaranya Galleria Kotaraya, Larkin Central dan City Square Mall Johor Bahru. Hari terakhir pula, peserta menjalani aktiviti khidmat masyarakat di Rumah Warga Emas Nur Ehsan Kempas, Rumah Amal kanak-kanak TBQ Jalan Abdul Samad, Flat Temenggong dan Sekolah Mycare di Kulai.

Pada sebelah malamnya pula diadakan sesi perkongsian dari IKRAM Muda dan Pemuda Gema berkaitan persiapan menghadapi dunia luar dan pengurusan kewangan. Peserta berpeluang menimba ilmu berkaitan kerjaya pilihan dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan, pengajian Islam, kedoktoran, farmasi dan perundangan. Peserta mendapat input terus dari mereka yang terlibat dan bekerja dalam bidang tersebut.

Semoga program Pasca SPM ini dapat memberi bekalan buat anak-anak batch ke 26 NEXUS untuk mengambil langkah yang bijak di dunia serba mencabar di luar sana. Terima kasih juga kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan penuh terhadap program yang dirangka oleh pihak sekolah. Semoga Allah swt meredhai dan merahmati kita semua.

SMIHJB #PASCASPM #UNITTARBIAHSMIHJB

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda