SMIHJB | MUKHAYYAM PELAJAR TINGKATAN 3 TAHUN 2026

Alhamdulillah, pada 15 hingga 17 Julai 2026 yang lepas, pihak Kadet Remaja Sekolah (KRS) Sekolah Menengah Islam Hidayah JB telah berjaya menganjurkan Program Mukhayyam KRS Pelajar Tingkatan 3. Program ini telah berjalan dengan jayanya hasil sokongan dan komitmen padu daripada 12 orang fasilitator serta 12 orang guru pengiring. Berikut merupakan butiran mukhayyam:

Tarikh : 15 – 17 Julai 2026
Hari : Rabu hingga Jumaat
Tempat : RAF Point, Kota Tinggi, Johor
Kehadiran : 165 pelajar | 12 Fasilitator | 12 Guru Pengiring

Objektif utama mukhayyam kali ini ialah:
1. Melatih dan meningkatan kemahiran ikhtiar hidup dalam kalangan peserta.
2. Membina kesedaran dan memantapkan adab agar menjadi qudwah dalam diri peserta.
3. Menanamkan rasa tanggungjawab dengan manusi dan tuhan.

Semua pelajar telah menunjukkan kesungguhan, komitmen yang berterusan dan kerjasama yang baik sepanjang program mukhayyam ini berlangsung. Pelbagai modul dan aktiviti telah dijalankan bagi membina kekuatan fizikal dan rohani murid. Berikut adalah aktiviti-aktivitinya:
1. Pengisian Kerohanian dan Sahsiah: Amalan Qiyam Fardi, Qiyam Jamaie, solat fardu berjemaah, bacaan Al-Mathurat, Solat Dhuha, tazkirah berkumpulan (diasingkan mengikut Syabab & Fatayat), Tilawah Surah Al-Mulk, dan Kawalan Malam (Hirasah).
2. Aktiviti Ikhtiar Hidup dan Penjelajahan Hutan: Perhimpunan, senaman regangan, taklimat keselamatan, Penjelajahan Hutan (Jungle Trekking), dan Memasak Ikhtiar Hidup (Survival Cooking).
3. Modul Cabaran Fizikal dan Ketahanan Lasak: Taklimat keselamatan, cabaran Zipline, dan Litar Halangan (Hurdles).
4. Ekspresi Kreatif dan Refleksi Kepimpinan: Slot Pentas Solusi (lakonan, nasyid, pantun, dan syarahan) serta sesi Rasionalisasi Bersama (Kongsi dan Simpul).

Kemuncak kepada program ini ialah pemilihan peserta terbaik mukhayyam. Syabab Terbaik Mukhayyam Tingkatan 3 2026 ialah Muhammad Affan bin Kamizi, manakala Fatayat Terbaik ialah Qistina Bashirah binti Salmin.

Secara keseluruhannya, Mukhayyam Tingkatan 3 telah mencapai objektif pembentukan modal insan yang seimbang. Komitmen padu daripada semua pihak memastikan kesemua 165 orang pelajar dapat menyertai setiap modul dengan selamat, teratur, dan berkesan.

Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Sekolah (JPS), para fasilitator, guru-guru pengiring yang bertungkus-lumus, murid-murid Tingkatan 3, dan ibu bapa atas sokongan padu yang diberikan sehingga program ini selesai dengan jayanya.
Jazakumullahu Khairan.

Jawatankuasa,
Mukhayyam Pelajar Tingkatan 3 2026,
SMI Hidayah JB

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda