Pada tarikh 17 Januari 2025 , iaitu hari Jumaat, telah berlangsungnya program tahunan Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru iaitu Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) . Program ini anjuran Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah (Kopsmih) untuk kali ke-12 , diadakan secara bersemuka di Dewan Tabuk Sekolah Islam Hidayah bermula dari jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Alhamdulillah, kehadiran anggota seramai 490 orang yang terdiri daripada murid tingkatan 1, 2, 3 , 4 dan guru-guru juga dapat memeriahkan lagi suasana mesyuarat pada hari tersebut. Puan Seri Juli Emas Wati binti Adnan, selaku Pengetua Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru, merangkap Pengerusi Koperasi telah merasmikan mesyuarat tersebut. Menerusi ucapan perasmian daripada pengetua, beliau menyatakan bahawa era pasca covid memberi kesan kepada pengurangan jualan di koperasi. Walaupun banyak aktiviti jualan yang dibuat, namun pembelian aset menyebabkan perbelanjaan meningkat, seperti contoh pembelian vending machine dan peralatan untuk jualan panas. Begitu dengan sumbangan pembayaran bil elektrik kepada sekolah. Namun perkara ini dapat menambah kemudahan kepada warga sekolah kerana dapat memudahkan pembelian sewaktu koperasi ditutup pada waktu petang dan cuti hujung minggu.
Penglibatan pengawas koperasi juga menjadi semakin aktif di mana mereka dapat menjalankan tanggungjawab mengira wang hasil pendapatan ketika waktu rehat. Selain dapat menambah markah kokurikulum, pengawas koperasi juga dapat meningkatkan kemahiran mereka berinteraksi dengan pembeli sekali gus dapat menambah wang saku masing-masing. Penjualan barangan seperti buku-buku, pakaian dan minuman juga memudahkan anggota mendapatkan barang keprluan mereka di koperasi.
Seramai 11 orang anggota Lembaga Koperasi yang terdiri daripada 9 orang daripada kalangan guru SMIH dan 4 orang murid daripada tingkatan 3 dan 4 telah dilantik bagi sesi 2025. Semoga dengan pelantikan ini, Kopsmih dapat terus memacu keuntungan dengan lebih baik dan anggota Lembaga yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan baik sesuai dengan moto Kopsmih, “Muafakat Membawa Barakah”.




