SMIHJB | LAPORAN LAWATAN BINAR ILMU BOARDING SCHOOL BANDUNG KE SEKOLAH MENENGAH ISLAM HIDAYAH JOHOR BAHRU

Pada 21 hingga 23 September 2026 yang lalu,Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru telah menerima kunjungan daripada Binar Ilmu Boarding School – Senior High School, Bandung, Indonesia melalui program “Muhibbah Jalinan Nusantara”. Pelawat terdiri dari 7 murid bersama pengetua iaitu Ustaz Aip Syaepul Uyun.

Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah antara institusi pendidikan Islam serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan pendidikan serta pembentukan karakter pelajar.

Sepanjang keberadaan mereka di Sekolah Menengah Islam Hidayah, para peserta telah menginap di Asrama SMIH dan menyertai pelbagai aktiviti akademik, kebudayaan, serta integrasi bersama warga sekolah.

Para pelawat telah disambut dalam Majlis Sambutan Rasmi peringkat sekolah yang diserikan oleh ucapan kedua-dua pihak dan persembahan seni daripada Najahan dan Binar Ilmu. Murid pelawat kemudian ditempatkan ke kelas tingkatan empat untuk merasai pengalaman belajar di SMIHJB.

Selain itu pelawat juga berpeluang mengikuti Lawatan Pendidikan (Education Trip) sekitar Johor Bahru antaranya ke Masjid BDO, Kompleks Kraf Johor, dan Angsana Mall.

Lawatan kali ini agak menarik kerana murid dari Binar Ilmu School berpeluang terlibat dalam Aktiviti Penutup Bulan Kebangsaan seperti Sukan Rakyat (murid lelaki), Busana Tradisional (murid perempuan), dan Pertandingan Sajak. Pada hari tersebut juga berlangsungnya Hari Jualan yang diusahakan oleh murid tingkatan empat.

Program lawatan muhibbah ini bukan sahaja membuka ruang untuk jalinan kolaborasi strategik dan pertukaran budaya antara dua negara serumpun, malah memperkukuh iltizam dalam melahirkan generasi pelajar berdaya saing dengan wawasan global. Semoga ikatan silaturrahim yang terjalin ini akan terus mekar dan memberi keberkatan serta manfaat berpanjangan kepada kedua-dua institusi.

#PeribadiMuslimGenerasiMultazim #PenerajuPendidikanHolistik

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda