Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Tingkatan 3 Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru telah berjaya dilaksanakan pada 23 hingga 25 Julai 2025 (Rabu hingga Jumaat) bertempat di RAF Point, Kota Tinggi, Johor. Program ini diadakan sebagai salah satu usaha pembinaan sahsiah murid secara holistik dan berteraskan nilai Islam. Tema yang dipilih, “Sahsiah Terserlah, Ikutan Terindah”, berperanan sebagai kerangka utama dalam mencapai objektif program iaitu menerapkan nilai tanggungjawab, membentuk suri teladan, serta memperkukuh kemahiran ikhtiar hidup dalam kalangan peserta.
Seramai 171 orang murid telah menyertai program ini, terdiri daripada 94 orang pelajar lelaki (syabab) dan 77 orang pelajar perempuan (fatayat). Mereka telah dibimbing oleh 13 orang guru pengiring dan dibantu oleh 11 orang fasilitator yang terdiri daripada alumni Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru.Program ini dianjurkan oleh Unit Kadet Remaja Sekolah (KRS), Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru dengan sokongan dan kerjasama pihak pengurusan RAF Point serta barisan fasilitator jemputan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tiga hari perkhemahan ini yang merangkumi aspek fizikal, mental, kerohanian dan kepimpinan, antaranya:
Slot 1: Pengenalan & Ice Breaking
Slot 2: Pertandingan Bina Gajet
Slot 3: Pertandingan Memasak
Slot 4: Night Games
Slot 5: Jungle Trekking
Slot 6: Zipline sepanjang 80 meter
Slot 7: Memanah Tradisional
Slot 8: Problem Solving melalui lakonan
Slot 9: Curhat Batch (perkongsian hati ke hati)
Slot 10: Tadabbur Hadis Akhlak
Slot 11: Rasionalisasi dan penutup
Aktiviti-aktiviti ini telah dirancang rapi untuk memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada para peserta dalam suasana mencabar namun terkawal. Program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya. Para peserta menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi, kepimpinan yang menyerlah serta peningkatan dalam aspek kendiri dan sahsiah. Sesi Curhat Batch dan Rasionalisasi menjadi antara momen paling menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada peserta. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran kecil seperti cuaca hujan yang mengganggu jadual sesetengah aktiviti luar serta isu kekurangan tenaga semasa aktiviti fizikal yang memerlukan adaptasi segera daripada pihak fasilitator dan guru.
Disediakan oleh:
(Unit KRS Tingkatan 3)
Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru
Tarikh: 28 Julai 2025






