SMIHJB | PROGRAM IKTIKAF PERDANA SEK MEN ISLAM HIDAYAH JOHOR BAHRU

Alhamdulillah, program Iktikaf Perdana telah dilaksanakan pada hari Khamis 28 Mac 2024 sehingga Jumaat 29 Mac 2024. Tahun ini, iktikaf yang merupakan program tahunan anjuran Unit Pembangunan Sahsiah Murid, PSM SMIH JB dilaksanakan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, JB.

Seramai 478 orang pelajar diiringi 31 orang guru telah mengikuti program ini. Sejumlah 50 orang daripada pelajar yang hadir juga merupakan ajk pelajar yang membantu menjayakan kelancaran program. Objektif program ini adalah sebagai pelatihan menghidupkan ibadah dalam bulan Ramadan iaitu membaca al-Quran, beriktikaf, solat terawih berjemaah dan qiyamullail.

Program bermula pada hari Khamis petang di mana semua peserta berkumpul di Masjid Sultan Iskandar. Taklimat program diberikan oleh Ustaz Taufiq Jaafar selaku ketua Unit Pembangunan Insan, diikuti taklimat daripada pengarah, Ustaz Aziz bin Kamaruzzaman. Seterusnya pelajar bersedia untuk berbuka puasa. Sesi berbuka puasa disambut dengan penuh kesyukuran atas sumbangan makanan iftar yang diberikan oleh ibu bapa yang turut menyumbang untuk jamuan moreh dan sahur.

Selepas solat terawih, pelajar dikumpulkan di dewan aras bawah masjid untuk moreh dan tugasan tazkirah serta melengkapkan silang kata Ramadan. Pelajar tidur pada 11.15 malam. Keesokan harinya, pelajar telah bangun seawal 4 pagi untuk berqiyamullail dan sahur. Setelah solat subuh, peserta berpeluang mendengar tazkirah Ramadan daripada Ustaz Panji Alam Mazhisham bertajuk Nuzul al-Quran bersama-sama para jamaah.

Program pagi Jumaat diteruskan dengan slot 3R iaitu slot eksplorasi Remaja Raikan Ramadan. Eksplorasi ini melibatkan checkpoint dan tugasan di sekitar kawasan masjid. Program penutup iktikaf telah dilaksanakan pada jam 10.15 pagi dengan ucapan daripada Puan Pengetua, Pn. Seri Juli Emas Wati binti Adnan serta pengarah program. Hadiah kepada para pemenang eksplorasi 3R turut diberikan dan program tamat pada jam 10.45 pagi.

Setinggi-tinggi penghargaan ditujukan juga kepada kepada pihak pengurusan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn serta ibu bapa yang memberi sumbangan makanan dan minuman kepada peserta program. Diucapkan setinggi-tinggi terima kasih juga kepada semua guru dan ajk pelajar yang bertungkus – lumus menjayakan program iktikaf kali ini.

Diharapkan semoga program ini berjaya mendidik peserta supaya berlumba – lumba beramal pada bulan Ramadan ini, dan mengejar lailatul Qadar.

Unit Pembangunan Insan,
Pembangunan Sahsiah Murid,
SMIH JB.

#Ramdan #Berilmuberamalmemimpin

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda