SMIHJB: Solat Subuh Berjemaah Sempena Solidariti Fajar Sadiqin

SMIHJB| SEMPENA SOLIDARITI FAJAR SADIQIN
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya kita dapat hadir mendirikan solat Subuh secara berjemaah pada pagi ini dalam suasana aman dan damai.
Ini adalah nikmat berganda yang kita jarang syukuri.

Ketika kita dapat solat dengan aman di negara kita, umat Islam di Palestin, khususnya di Baitulmaqdis, sedang berhadapan dengan ancaman Zionis Israel yang ingin merampas Masjid al-Aqsa; kiblat pertama umat Islam.

Pelbagai tindakan biadab sedang dilakukan oleh Zionis Israel termasuklah menghalang umat Islam menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, mengharamkan sebahagian daripada mereka daripada memasuki masjid dan membenarkan pendatang haram dan ekstremis Yahudi
memasuki dan mencemari Masjid al-Aqsa.

Justeru, sejak 3 Jumaat yang lepas, rakyat Palestin telah melancarkan kempen ‘Fajar al-Azim’ untuk mengajak seramai mungkin rakyat Palestin membanjiri Masjid al-Aqsa seawal waktu subuh untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan dan pencabulan ini.

Subuh pada hari Jumaat minggu lepas diberi nama ‘Fajar al-Amal’ (Subuh Harapan). Subuh Jumaat minggu ini pula diberi nama ‘Fajar Sadiqin’ (Subuh Kebenaran).

InsyaAllah pihak SMIH ingin menyeru kepada semua jemaah untuk menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kita kepada kempen yang sedang dijalankan oleh rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa pada hari ini.

Pihak masjid juga ingin menyeru semua jemaah untuk mendoakan agar saudara-saudara kita di Palestin, khususnya di sekitar Baitulmaqdis, dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT untuk mengalahkan musuh umat Islam di Palestin.

Sama-sama kita sebarkan situasi terkini di Masjid al-Aqsa ini kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat kita agar kita semua ambil-maklum tentang nasib yang sedang
menimpa kiblat pertama umat Islam ini.

Sama-sama juga kita sokong inisiatif NGO-NGO Malaysia yang menghantar bantuan ke Palestin sebagai sebahagian daripada jihad kita membantu membebaskan Palestin dan Masjid al-Aqsa.

Semoga Allah SWT menerima amalan kita.

 
#JomKeSyurga
 
 
 
 
 
 

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda