SKUDAI, JOHOR BAHRU, 9 April 2026 (Khamis) – Sesi ketiga Program STI 100³ telah berjaya dilaksanakan di Blok V01, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan penyertaan seramai 40 orang pelajar tingkatan 3 bersama 4 orang guru pengiring.
Program yang berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap dunia teknologi serta aplikasi inovasi masa kini. Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mengendalikan pelbagai model alat inovasi serta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara praktikal.
Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini bukan sahaja menjadikan sesi lebih interaktif, malah berjaya meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar. Selain itu, program ini turut membantu memupuk minat yang lebih mendalam terhadap bidang STEM serta mendorong pelajar untuk menghasilkan idea-idea baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara kelebihan utama program ini ialah meningkatkan pendedahan pelajar terhadap teknologi moden, menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna, serta menyemai semangat inovasi dalam diri peserta.
Diharapkan program seumpama ini dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berkemahiran tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah serta negara pada masa hadapan.
Jutaan penghargaan diucapkan kepada pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Ahmad ‘Athif atas kesudian berkongsi kepakaran dan ilmu, serta kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.








