Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH) dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) Johor Bahru berbesar hari terlibat sebagai rakan kerjasama dalam program ‘Inbound’ Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) & University Teknologi Malaysia (UTM).
Melalui kerjasama ini seramai enam orang guru pelatih UNY telah diterima sebagai guru pelatih di Sekolah Islam Hidayah iaitu empat orang di SMIH dan dua orang di SRIH. Mereka akan menjalani latihan selama 3 minggu di sini.
Majlis penerimaan pelatih ini telah diadakan pada Ahad 10 September 2023 di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH) UTM. Majlis penerimaan telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Teknik & Kejuruteraan FSSH UTM; Prof Madya Dr Aede Hatib bin Musta’amal @ Jamal manakala Prof Madya Dr Yudanto Yudanto mewakili UNY.
Turut bersama menerima pelatih adalah Guru besar Sekolah Rendah Islam Hidayah; Pn Rohaida Ridzwan, Pengetua Sekolah Menengah Islam Hidayah; Pn Seri Juli Emas Wati binti Adnan dan En Danielle Loh; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas Stellar Internasional School.
Sehubungan dengan itu satu majlis ringkas penerima pelatih secara rasmi di Sekolah Islam Hidayah telah diadakan pada hari pertama pelatih di sekolah iaitu pada Isnin 11 September 2023. Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Sekolah Islam Hidayah; Tn Hj Hassan bin Hushin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Hidayah; Tn Hj Mohd Jelani bin Ramly.
Semoga kerjasama di antara PPH, UTM dan UNY ini bukan sahaja memberi ruang untuk pelatih menimba ilmu dan pengalaman tetapi semoga ia menjadi perintis kepada kerjasama yang lebih erat dan bermanfaat di antara ketiga-tiga buah organisasi di masa akan datang.