Panitia Bahasa Arab Sekolah Menengah Islam Hidayah telah menganjurkan Bengkel Teknik Menjawab Bahasa Arab SPM 2025 pada 8 Ogos 2025,khusus untuk pelajar Tingkatan 5 sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang semakin hampir.
Bengkel yang berlangsung dari jam 3.00 hingga 5.00 petang di Dewan Tabuk menampilkan penceramah jemputan, Ustazah Norsalina Monhadi, Guru Bahasa Arab dari SMK Tunku Putra, Batu Pahat. Beliau berkongsi pengalaman dan strategi menjawab soalan berdasarkan format peperiksaan terkini.
Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada bentuk soalan sebenar, membimbing mereka memahami kehendak soalan dengan tepat, dan memupuk keyakinan diri bahawa semua mampu memperoleh keputusan cemerlang.
Sepanjang bengkel, penceramah memberikan penjelasan terperinci tentang teknik menjawab sambil meminta beberapa pelajar menjawab soalan secara langsung bagi menguji kefahaman mereka. Penerangan yang jelas serta contoh soalan yang dikongsikan membantu pelajar memahami cara menjawab dengan lebih berkesan.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada penceramah atas perkongsian ilmu yang bermanfaat dan berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi meningkatkan prestasi pelajar dalam subjek Bahasa Arab.





