PPH: Perutusan Ramadan Al-Mubarak Pengerusi LPH 2020/1441

Perutusan Ramadan Al-Mubarak 2020/1441H
Pengerusi Lembaga Pengelola Hidayah

Assalamualaikum wrt dan Salam Ramadan Al-Mubarak,

  1. Alhamdulillah saya mengucapkan syukur kepada Allah swt kerana dapat bersama umat Islam dan warga Hidayah pada tahun ini menyambut Ramadan Al-Mubarak. Sambutan Ramadan tahun ini sangat unik kerana wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
  2. Semasa pelancaran Malam Badar Online [MBO] 2020 pada hari Khamis 22 April lalu saya berharap keluarga besar Hidayah harus bersungguh-sungguh menerima, menyambut, mencari kebaikan dan bekalan Ramadan untuk dibawa ke akhirat nanti. Almarhum Syeikh Mustafa Masyhur menyatakan Ramadan sebagai zaad/bekalan bertemu Allah swt. Bekalan untuk orang beriman yang bersama-sama menyebarkan Islam contohnya melalui usaha projek pendidikan Islam seperti di Hidayah.
  3. Perbanyakkanlah amalan samada membaca al-Quran, bersolat fardu, sunat, tarawih, qiamulail bersama keluarga, mengikuti majlis ilmu secara online, membaca buku, berzikir, berdoa dan bersedekah. Rebutlah peluang beramal dengan mengikuti aktiviti NGO/masjid, menjadi sukarelawan yang membantu barisan hadapan atau yang terjejas akibat kehilangan pendapatan semasa PKP. Kesemua itu adalah dalam rangka ubudiah kita kepada Allah swt.
  4. Teruskan bersama membantu fundraising MBO 2020 berjumlah RM500,000.00 yang disasarkan oleh JK Dana Hidayah dengan kerjasama PIBG. Begitu juga inisiatif Yayasan Pendidikan Hidayah yang berusaha membantu keluarga dan masyarakat yang terkesan. Misi Pusat Pendidikan Hidayah adalah misi kita bersama. Misi melahirkan Generasi Rabbani dan mentarbiah pelajar yang soleh dan musleh.
  5. Kepada para pelajar sekalian, tekunlah mengikuti Google Classroom dan sebarang aktiviti yang dirancang guru kalian. Ibubapa dan penjaga pula berusaha menggalak dan menyediakan biah/suasana soleh dalam pembelajaran di rumah[ home based learning]. Bantulah anak-anak belajar dan berpuasa dengan sempurna bagi yang sudah remaja dan menyokong emosi anak-anak yang sedang belajar berpuasa. Guru dan kaunselor pula berikan motivasi serta rangsangan yang sangat diperlukan terutama sewaktu PKP ini. Keutamaan menjaga kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan diri sewaktu PKP perlu diamalkan sejajar dengan panduan daripada pihak KKM, MKN, JAIJ dan KPM.
  6. Kami di Lembaga mengucapkan jazakumullahukhairan kepada lebih kurang 180 guru-guru yang telah dan terus berinisiatif tinggi memberikan ilmu dari rumah [Work From Home]. Kepada kakitangan bukan akademik, kalian semua amat penting dalam menyokong kelicinan operasi PPH. Penghargaan tinggi juga ditujukan kepada ibubapa/penjaga yang bersabar melayan anak-anak menyiapkan tugasan/kerja rumah semasa PKP. Terima kasih ibubapa/penjaga yang terus menyokong Hidayah yang seramai hampir 240 kakitangan akademik dan bukan akademik untuk memastikan kelangsungan kehidupan keluarga mereka serta kelestarian pendidikan Islam di Hidayah terjamin. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada para dermawan yang budiman.

“RAMADAN: SEMARAK IBADAH MEMACU PERUBAHAN”

Ikhlas daripada:

Hj Hassan Bin Hushin

Pengerusi Lembaga Pengelola,
Sekolah Islam Hidayah.

#stayathome

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda