Alhamdulillah..tlh berakhirnya program dr Bidang Tahfiz untuk tahun ini yang bertemakan “Al-Quran Talent Quest 2025” telah berjaya dilaksanakan pada 3 Disember 2025 . Program ini bertujuan mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam bidang Al-Quran melalui pelbagai pertandingan bertemakan Al-Quran seperti Tilawah Al-Quran, Hafazan, Azan, Imlak Al-Quran, Membaca Doa dan Explorace Al-Quran yang berjaya dipertandingkan.
Penyertaan pelajar amat menggalakkan dan keseluruhan perjalanan program berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Program ini bukan sahaja menguji kemahiran, malah memberi pendedahan kepada pelajar tentang adab, disiplin dan kecintaan terhadap Kalamullah serta semoga melahirkan generasi Qurani yang berdaya saing.
Bidang Tahfiz merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Pengetua serta barisan Penolong Kanan yang sentiasa memberikan sokongan padu, idea dan dorongan terhadap kejayaan penganjuran program ini.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga turut ditujukan kepada PK HEM dan PK Akademik kerana sudi meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup sebentar tadi. Kehadiran mereka menyerikan lagi program serta memberi suntikan semangat kepada para peserta.
Penghargaan juga diberikan kepada barisan AJK Pelaksana Program yang telah berusaha gigih memastikan setiap komponen AQT 2025 berjalan lancar dan teratur, serta kepada para hakim yang dilantik atas komitmen, kepakaran dan penilaian yang profesional.
Semoga penganjuran program ini terus menjadi wahana untuk melahirkan pelajar yang mahir, beradab dan berakhlak Al-Quran.
Sekian, terima kasih.
Dari;
Shariaah Saibany
Penyelaras Program AQT 2025









