Pada 28/04/2011, Pasukan Sepak Takraw SMIH menghantar dua regu iaitu Bawah 15 dan Bawah 18 untuk menyertai pertandingan Sepak Takraw MSSM Johor Bahru. Pasukan ini dilatih oleh En. Azri bin Ali dan dibantu oleh En. Ezaidin bin Norman serta En. Omar Danial. Pada pertandingan tersebut pasukan Bawah 15 mencipta sejarah apabila layak ke peringkat akhir untuk bertemu dengan Sekolah Kompleks Sultan Abu Bakar. Pasukan kita memberi tentangan yang sengit dan mendebarkan dalam pertarungan 3 set.
Pasukan Sepak Takraw Bawah 15 yang diwakili oleh, Qamarussalam Ismail selaku Tekong, Qamaruddin Ismail selaku Apit Kanan “Killer”, Mursyid Salleh selaku Apit Kiri “Feeder” dan Farhan Haqqa Md Pajar tewas pada set pertama dengan kiraan mata 18-21. Pada set kedua, kita bangkit dan menewaskan pasukan lawan dengan mata 21-17. Namun, nasib tidak menyebelahi, akhirnya kita tewas pada set ketiga dalam pertarungan yang bermaruah dengan kiraan mata 15-13.
Bagi pasukan Bawah 18 pula, walaupun tidak memperolehi sebarang pingat, tapi tetap menunjukkan prestasi yang baik dengan menjadi Naib Johan kumpulan dan layak ke pusingan yang kedua. Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dari barisan jurulatih dan para pemain sendiri amat baik walaupun pasukan kita hanya berlatih di atas padang rumput kerana tiada “court” Sepak Takraw yang tetap. Semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepada kejayaan- kejayaan yang lain dan menarik minat lebih ramai pelajar dalam sukan Sepak Takraw. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya para ibubapa yang memberikan restu untuk anak mereka terlibat dalam aktiviti sukan di SMIH.