Pada hari Rabu iaitu 25 Februari 2026, telah berlangsungnya program tahunan Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru iaitu Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-13 . Program ini anjuran Koperasi Sekolah Menengah Islam Hidayah (Kopsmih) ini diadakan secara bersemuka di Dewan Tabuk Sekolah Islam Hidayah bermula dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Alhamdulillah, kehadiran anggota seramai 530 orang yang terdiri daripada murid tingkatan 1, 2, 3 , 4 dan guru-guru juga dapat memeriahkan lagi suasana mesyuarat pada hari tersebut. Perasmi yang diundang untuk merasmikan mesyuarat ini ialah Puan Hajah Rohaida binti Ridzwan, merupakan Ketua Pegawai Operasi (KPO) Pusat Pendidikan Hidayah, Johor Bahru. Menerusi ucapan perasmian daripada pengetua, beliau mengucapkan tahniah kepada koperasi atas kejayaan yang diperoleh sepanjang tahun 2024 dan 2025. Penubuhan koperasi sekolah ini yang bermula sejak tahun 2009 membolehkan murid belajar tentang pengurusan kewangan, keusahawanan, dan kerja berpasukan. Malahan, penglibatan aktif dalam aktiviti yang dijalankan di koperasi juga dapat menambah markah dalam PAJSK. Program seumpama ini wajar dijalankan pada setiap tahun untuk menyampaikan maklumat kepada ahli berkenaan kedudukan kewangan dan pengurusan koperasi. Pendedahan ini amat penting agar semua ahli mengetahui sama ada koperasi sekolah mengalami keuntungan atau kerugian. Selain itu, program ini bertujuan menarik minat dan melahirkan semangat serta jiwa usahawan dalam kalangan murid.
Seramai 11 orang anggota Lembaga Koperasi yang terdiri daripada 9 orang daripada kalangan guru SMIH dan 4 orang murid daripada tingkatan 3 dan 4 telah dilantik bagi sesi 2026. Semoga dengan pelantikan ini, semua barisan ahli jawatankuasa yang dilantik dapat sama-sama bergabung usaha dan idea dengan penuh amanah untuk memastikan Kopsmih dapat terus memacu keuntungan dengan lebih baik, bertepatan dengan moto Kopsmih, “Muafakat Membawa Barakah”.





