SRIHJB: LANGKAH PENCEGAHAN COVID-19

25 April 2021

Assalamualaikum wbt,

Semoga semuanya dalam perlindungan Allah swt dari segala kemudaratan. 

Pihak sekolah telah dimaklumkan terdapat seorang bapa kepada 2 orang murid SRIHJB disahkan COVID-19. Untuk makluman 2 orang murid ini menggunakan kenderaan persendirian. 

Dalam masa sama kita mendapati terdapat 2 orang murid SRIHJB juga ada kontak dengan pelajar SMIHJB yang positif COVID-19. 

Sehubungan dengan itu rakan-rakan sekelas 4 orang murid tersebut dikategorikan berada di peringkat 3 risiko jangkitan COVID-19. 

4 orang murid tersebut adalah daripada kelas:

3 Ibnu Majah
3 Abu Daud
6 Usman al Affan
6 Salahuddin al Ayubi

Dalam masa sama terdapat 31 orang guru SRIHJB juga dikesan berada di peringkat 3 risiko jangkitan daripada kes tersebut kerana mengajar 4 orang murid-murid yang berada di peringkat 2 itu. 

Sebagian daripada murid-murid peringkat 3 ini juga menggunakan bas dan van semasa pergi dan balik sekolah. 

Mengambilkira semua faktor tersebut dan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penularan jika murid di peringkat 2 didapati positif COVID-19 ( untuk makluman keputusan ujian swab mereka belum keluar), maka setelah berbincang, pihak Jawatan kuasa Khas COVID-19 Pusat Pendidikan Hidayah (PPH) dengan kelulusan pihak Lembaga Pengelola Hidayah (LPH) memutuskan seperti berikut:

1. SRIHJB akan ditutup sementara mulai Ahad 25/4/2021 hingga 1/5/2021 selaras dengan tempoh penutupan SMIHJB. 

2. Sekolah akan dibuka semula pada Ahad 2/5/2021. 

3. Kelas pembelajaran secara dalam talian akan dijalankan mulai Isnin 26/4/2021 hingga Khamis 29/4/2021. Jadual akan diedarkan kemudian. 

4. Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG SRIHJB akan mengusahakan untuk sekolah disanitasi dalam tempoh cuti ini. 

5. Pihak SRIHJB dan SMIHJB akan melakukan penilaian semula pematuhan SOP pencegahan COVID-19 dan pematuhan yang lebih berkesan akan dijalankan kepada murid, guru dan ibu bapa. 

6. Pihak sekolah juga akan menilai semula tempoh waktu pembelajaran bagi meminimumkan jumlah murid yang terpaksa solat zohor di sekolah yang terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19. 

7. Keputusan ini turut mendapat sokongan Pengerusi PIBG SRIHJB yang turut menganggotai Jawatan Kuasa Khas COVID-19 PPH. 

Pihak sekolah memohon kemaafan di atas kesulitan ini demi menjaga keselamatan bersama. Semoga kita semua dapat mencegah penularan COVID-19.

Sekian, wassalam. 

Tn Hj Mohd Jelani bin Ramly

Ketua Eksekutif PPH
Ketua Jawatan Kuasa Khas COVID-19 PPH
24 April 2021

Kongsikan dan Sebarkan