SMIHJB: Lindungi Anak Dan Keluarga, Bersama Cegah COVID-19

SMIHJB| Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) sangat memandang berat dan menzahirkan rasa kesal serta sedih terhadap perhimpunan orang ramai di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu yang telah mengingkari prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa. Kegagalan ribuan peserta perhimpunan mematuhi penjarakan sosial dan memakai pelitup muka telah tersebar dan diberi liputan meluas dalam media sosial dan media dalam talian arus perdana.
 
   Kekhuatiran YAB Perdana Menteri dengan kewujudan 13 kluster baru COVID-19 sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP ini, ditambah kesedihan yang diluahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berhubung apa yang terjadi jelas menunjukkan betapa getirnya ketika negara dan rakyat sedang mendepani cabaran COVID-19, masih ada lagi dalam kalangan masyarakat yang mengabaikan kawalan kendiri, malah berpotensi menularkan lagi wabak pandemik ini kepada ahli keluarga terdekat, khususnya anak-anak kecil di rumah dan yang masih bersekolah.
 
   Tanpa menafikan hak berhimpun dan bersuara mana-mana kelompok masyarakat seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara, namun tidak sewajarnya hak tersebut dimanipulasi sehingga mampu menjejaskan ahli keluarga dan komuniti lain di kemudian hari, khususnya warga pendidik dan anak-anak murid di sekolah.
Memahami bahawa para guru kini menjadi barisan paling depan di sekolah demi memastikan anak-anak murid selamat dan terhindar daripada bahaya wabak COVID-19, seharusnya perhimpunan orang ramai yang mampu mengundang bahaya dan berisiko tinggi memudaratkan anak dan keluarga dihindari pada masa hadapan. Ini sedikit sebanyak membantu pihak sekolah membendung ancaman di luar jangka dalam kalangan warga sekolah.
   Selain itu, ia juga sebagai pengajaran bermakna kepada para peserta perhimpunan agar lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan anak-anak dan ahli keluarga seperti kata pepatah, “ mencegah itu lebih baik daripada merawat”.
 
   Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) menyeru atas semangat pengorbanan di Hari Raya Aidil Adha ini agar kita bersama berusaha dan membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung dan mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 dalam masyarakat dan di negara kita yang tercinta ini. Lindungilah keluarga dan anak-anak kita agar mereka dapat terus ke sekolah menuntut ilmu dalam keadaan sihat dan ceria bahagia demi masa depan mereka. Negara kita adalah tanggungjawab kita.
 
Isharuddin bin Ismail
Pengerusi
Majlis Pengetua Guru Besar
Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM)
1hb Ogos 2020
 
Sumber daripada: _KENYATAAN_MEDIA_MPGBSIM_
 

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda