Peraturan Trafik dan Kawalan Keselamatan di Sekolah

23 July 2010

 PERATURAN TRAFIK DAN KAWALAN KESELAMATAN DI SEKOLAH

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.    Antara objektif utama perlaksanaan peraturan baru trafik dan kawalan keselamatan di Sekolah Hidayah ini ialah untuk memastikan keselamatan dan tiada gangguan kepada pelajar dan guru dalam proses pembelajaran holistik dan bersepadu di kawasan sekolah.

3.    Hasil daripada perbincangan dan maklumbalas yang telah dibuat dan diperolehi daripada kakitangan/guru/AJK PIBG/lembaga sekolah/kaji selidik trafik serta perlaksanaan di kebanyakan sekolah kerajaan dan swasta, dengan ini pihak LPH ingin memaklumkan berkuatkuasa dari 2 OGOS 2010 peraturan berikut akan dilaksanakan:

i.        Kebenaran masuk ke kawasan sekolah dengan kenderaan (nota: kawasan sekolah ditakrifkan sebagai kawasan berpagar yang mempunyai 4 pintu masuk besar) hanya diberikan kepada kenderaan yang mempunyai pelekat khas iaitu di kalangan guru/kakitangan sekolah/kantin, Lembaga Sekolah/SIH Niaga, sahaja.

ii.       Waktu penguatkuasaan ini adalah sepanjang masa, siang dan malam, termasuk hujung minggu dan majlis keramaian sekolah (seperti sukan, Majlis Malam Badar).

iii.      Ibubapa & pelajar:

a.     Ibubapa hanya boleh menurun/mengambil anak & parkir (parking atau meletak kenderaan) di kawasan parkir ibubapa/pelawat (seberang jalan) sahaja. 

b.    Ibubapa yang ingin berurusan dengan pejabat/pihak pentadbiran sekolah serta asrama juga akan hanya berurusan melalui Pos Pengawal di Pintu Pagar A.  Hanya ibubapa/pelawat yang mempunyai urusan rasmi dengan pihak sekolah dibenarkan masuk.

c.     Pelajar (termasuk yang lewat pulang atau selepas kelas tambahan/tuisyen siang/malam atau program dalam/luar sekolah) akan menunggu ibubapa di dalam kawasan sekolah iaitu di pondok menunggu berdekatan Pintu Pagar A.  Urusan keluar/masuk pelajar (termasuk pelajar asrama) hanyalah melalui Pintu Pagar A.

d.    Pelajar (termasuk pelajar asrama) perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak sekolah (atau warden bagi pelajar asrama) jika ingin keluar daripada kawasan sekolah bukan pada masa yang dibenarkan oleh pihak sekolah atau sebelum tamat sesi pembelajaran. 

iv.     Tanda laluan & larangan masuk/keluar akan diletakkan di tempat tertentu.  Contohnya di persimpangan jalan ke Pintu Pagar D, di kawasan parkir ibubapa/pelawat dan tempat yang dikhaskan untuk bas menurun/mengambil pelajar.  Sila patuhi tanda tersebut untuk kelancaran trafik. 

4.    Pihak sekolah tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan yang dialami pemilik kenderaan semasa meletakkan kenderaan atau menggunakan laluan yang dikhaskan untuk ibubapa. Keselamatan pengguna jalanraya dan kelancaran trafik perlu diutamakan sentiasa.

5.    Disertakan pelan lakar sekolah untuk rujukan.

6.    Kerjasama, kesabaran dan sikap bertolak ansur serta berlapang dada daripada ibubapa adalah amat-amat diharapkan untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna dan warga Sekolah Hidayah. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala usaha, keperihatinan dan amal ibadah kita.

Wassalam

Yang benar,

 

PROF. DR. HJ. NOOR AZLAN BIN AHMAD ZANZALI

Pengerusi

Lembaga Pengelola Hidayah

s.k        Pengetua/Timbalan Pengetua

Guru Besar/Timbalan Guru Besar

Pendaftar

 

 

 

Kongsikan dan Sebarkan