SMIH Menjuarai Debat MUSLEH Kategori Bahasa Inggeris

Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) telah berjaya menjadi johan dalam “3rd Musleh International Student Debating Championship 2011” kategori Bahasa Inggeris, mengalahkan Sekolah Menengah Islam Al Amin Gombak.

Ini adalah kali pertama kumpulan debat Bahasa Inggeris SMIH berjaya menjuarai pertandingan besar peringkat antara bangsa. Pada tahun 2010, pasukan ini hanya meraih naib johan di pertandingan ini.

Dalam pertandingan akhir itu, pendebat SMIH, Dalila Kahar telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik. Dengan kemenangan ini beliau mempunyai peluang cerah untuk dicalunkan ke “World School Debating Championship” yang akan berlangsung di Scotland pada Ogos 2011.

Kemenangan ini membolehkan SMIH membawa pulang hadiah wang RM 1,500, piala pusingan, piala sekolah dan piala individu.

Pasukan debat Bahasa Inggeris SMIH yang menjadi juara ini terdiri dari Maryam Liyana binti Ahmad Termizi, Nur Dalila binti Kahar dan Muhammad Huzaifah binti Adnan.

Tiga kategori bahasa telah dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. SMIH telah menghantar 3 pasukan untuk setiap kategori. Namun untuk kategori BM dan BA, pasukan SMIH hanya mampu ke peringkat suku akhir.

Johan kategori Bahasa Melayu ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng yang mengalahkan Sekolah Menengah Al Amin Gombak di peringkat akhir. Madrasah Al Junied dari Singapura pula telah menjadi johan dan naib johan dalam kategori Bahasa Arab.

Pada tahun 2010, dalam pertandingan yang sama, pendebat SMIH kategori Bahasa Melayu telah mejadi johan, mengalahkan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Pendebat SMIH kategori Bahasa Inggeris dan Bahsa Arab pula, kedua-duanya mendapat naib johan.

“Musleh International Student Debating Championship” adalah program tahunan anjuran MUSLEH. Pada tahun 2011 ini, ia telah disertai oleh 80 kumpulan dari 3 kategori bahasa iaitu Bahasa Inggeris (32), Bahasa Melayu (30 dan Bahasa Arab (18). Sebanyak 31 buah sekolah dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand telah  mengambil bahagian.

Pertandingan pada tahun ini telah diadakan di Hotel Putra, Kuala Lumpur pada 30 Jun – 3 ulai 2011. Ia dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia, Profesor Dr Haji Omar bin Yakob. Di majlis penutup pula, ia telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Haji Mohd Puad bin Zarkashi.

Sekolah Islam Hidayah telah berperanan besar dalam pertandingan tahun ini. Di samping Ustaz Mohd Jelani Ramly (Guru Besar SRIH) menjadi pengerusi jawatankuasa penganjur, ramai Alumni SMIH telah berperanan membantu kelancaran program ini. SMIH juga telah menghantar 35 pelajar sebagai pendebat dan pemerhati dengan diiringi oleh pengetua 3 orang guru.

SMIH juga akan menyertai pertandingan debat di Universiti Islam Antarabangsa pada 15-19 Julai 2011. Di pertandingan ini SMIH akan menghantar 1 kumpulan bagi setiap kategori. Dalam siri pertandingan sebelum ini, SMIH pernah merangkul beberapa kejuaraan pada Tahun 2009 dan Tahun 2010.

Kumpulan pendebat Bahasa Inggeris SMIH juga akan menyertai “Asian School Debating Champianship” yang akan berlangsung di Seoul, Korea pada 21-28 Julai 2011.

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda