Polisi Sekolah Tentang Yuran

3283


Pertama-tamanya, pihak sekolah ingin mengucapkan jazakumullahu khairan kathira dan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang telah memberi komitmen dan menunjukkan kesungguhan dalam aspek pembayaran yuran dengan menjadikan pembayaran yuran sebagai perkara yang diutamakan dalam perbelanjaan keluarga serta tidak berhutang dengan pihak sekolah.

Pihak sekolah telah memperkemaskan polisi kewangan sekolah terutama tentang yuran. Kebanyakan polisi ini telah dilaksanakan. Sila rujuk Lampiran 1 untuk perinciannya. Perubahan ini telah berkuatkuasa 2 Mei 2016. Beberapa pindaan kecil telah dibuat sebagai kemaskini polisi/praktis semasa berkuatkuasa 1 Oktober 2018.

Dengan ketetapan di atas, diharapkan tuan/puan lebih serius dan bertanggungjawab dalam menanggani isu yuran agar tidak tertunggak, demi

kemaslahatan dan penerusan pendidikan anak tuan/puan di sekolah ini.

Semoga Allah mempermudahkan urusan kita dan pihak sekolah berharap tuan/puan sentiasa bersama memahami dan menyokong misi dan visi sekolah ke arah melahirkan generasi rabbani. Aamin
Sekian untuk makluman dan perhatian tuan/puan.

Yang menjalankan amanah,

MOHD JELANI BIN RAMLY
Ketua Eksekutif, Pusat Pendidikan Hidayah Bhd.
s.k Pengetua Sekolah Menengah Islam Hidayah
Guru Besar Sekolah Rendah Islam Hidayah
Bahagian Kewangan

POLISI YURAN SEKOLAH ISLAM HIDAYAH

 

1 Pembayaran yuran secara tunai tidak diterima melainkan untuk menyelesaikan yuran tertunggak
2 Resit rasmi perlu diterima oleh setiap pembayar sebagai bukti pembayaran.
3 Semua yuran yang berkaitan dengan persekolahan, bagi sesi baru, perlu dibayar pada atau sebelum hari pendaftaran seperti yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika ibu bapa gagal membuat bayaran, nama murid tidak didaftarkan ke dalam senarai kelas.
4

 

Yuran Pengajian bagi warga tempatan sepatutnya/hendaklah dibayar setahun. Ibu bapa dibenarkan membayar secara bulanan dalam tahun yang sama sebelum 10 haribulan bulan berkenaan. Diskaun diberi berkadaran dengan kecepatan pembayaran yang dibuat.
5

 

Yuran Pengajian bagi warga luar hendaklah dibayar setahun atau 3 bulan ke hadapan (contoh: sebelum 1 Januari, yuran Januari, Februari, Mac perlu dibayar. Pada bulan Januari, yuran April perlu dibayar).
6

 

Tunggakan yuran – Jika ibu bapa memilih untuk membayar Yuran Pengajian secara bulanan, Yuran Pengajian akan tertunggak jika yuran yang sepatutnya dibayar pada bulan tersebut tidak dibayar pada bulan tersebut. Tindakan terhadap mereka yang mempunyai tunggakan yuran adalah seperti berikut:

6.1.   Peringatan pertama – jika sebulan tertunggak

6.2.   Peringatan kedua – jika 2 bulan tertunggak.

6.3.   Notis 14 hari – jika 3 bulan atau lebih, tertunggak.

6.4.   Penahanan murid daripada memasuki kelas akan dibuat jika tiada tindakan oleh ibu bapa/penjaga ke atas notis 14 hari. Selain daripada penahanan murid, kes hutang tertunggak boleh diserahkan kepada peguam.

6.5.   Jika ibu bapa ingin memberhentikan pembelajaran anaknya kerana tunggakan yuran, dokumen yang berkaitan seperti Sijil Berhenti Sekolah, Testimonial dan dokumen yang berkaitan tidak akan diberi.

6.6.   Bagi kes penahanan murid (rujuk 6.4) dan permohonan berhenti (rujuk 6.5), cara penyelesaian hanyalah dengan membayar penuh segala hutang yang ada.

7

 

Yuran lama tertunggak – Notis peringatan pada bulan November akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang berhutang bahawa murid berkenaan tidak dibenarkan masuk sekolah untuk sesi baru dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
8

 

Pembatalan pendaftaran atau kemasukan atau urusan keluar sekolah setelah sesi persekolahan bermula:

8.1       Yuran Pendaftaran dan Yuran Kemasukan tidak akan dikembalikan

8.2       Yuran selain daripada 8.1 akan dikembalikan mengikut penggal/semester

Permohonan perlu dihantar kepada Bendahari sekolah untuk memulangkan baki yuran yang telah dibayar.

9

 

Murid yang masuk atau keluar di mana-mana hari di pertengahan kedua bulan perlu membayar setengah daripada Yuran Pengajian yang sepatutnya dibayar pada bulan tersebut.
10

 

Yuran Pengajian perlu dibayar setahun penuh. Sekiranya murid berhenti setelah mengambil peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan utama (SPPIM, UPSR, SPM), baki yuran perlu dijelaskan.
11

 

Bagi murid yang sakit atau cuti berpanjangan – jika ibu bapa masih berminat untuk meneruskan persekolahan samada di tahun yang sama atau tahun yang berlainan, Yuran Pengajian perlu terus dibayar. Jika ibu bapa tidak berminat untuk meneruskan persekolahan, mereka perlu berhenti dan mendaftar semula jika berkeinginan untuk masuk balik ke sekolah selepas itu. Penerimaan untuk mendaftar bergantung kepada kekosongan tempat belajar.
12

 

Yuran asrama (untuk Sekolah Menengah sahaja)

12.1.    Ibu bapa/penjaga yang ada tunggakan yuran (samada yuran asrama atau yuran pengajian atau yuran persekolahan), tidak layak memohon masuk asrama.

12.2.    Yuran asrama hendaklah sentiasa dibayar 3 bulan awal/kehadapan.

12.3.    Bagi murid yang ingin menumpang asrama, mereka dikehendaki membayar  terlebih dahulu yuran tumpang asrama sebelum masuk ke asrama untuk tempoh tumpangan tersebut dengan kadar yuran seperti berikut (dibundarkan) : (Kadar bulanan x 1.5 x bilangan hari)/30 hari.

KONGSI