Pelajar SMIH Juara Pidato 2009

Berikut adalah kejayaan yang telah dicapai oleh Sekolah Islam Hidayah pada 25 Jun 2009 yang lepas tetapi tidak diumumkan berita tersebut di laman ini.  Sumber berita daripada laman web Kelab De’Pikir iaitu laman rasmi kumpulan pendebat SMIH.

Bismillahirrahmanirrahim
-25/06/2009.

Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada salah seorang ahli Kelab De’Pikir SMIH ,

Sdr. Ishraf Hakim Mohd Nadzri
[5 Iltizam]

atas kejayaannya merangkul gelaran johan dalam Pertandingan Aktiviti Kokurikulum Sekolah-Sekolah Swasta 2009 peringkat zon selatan dalam kategori syarahan [Johor , Melaka dan Negeri Sembilan] sebentar tadi [25/06/2009]. Beliau tampil dengan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Modal Insan Sejati Produktiviti Berkualiti”.

Dengan kemenangan ini juga, melayakkan beliau secara automatik sebagai salah seorang peserta Pertandingan Syarahan [Aktiviti Kokurikulum Sekolah-Sekolah Swasta 2009] Peringkat Kebangsaan bagi mewakili zon selatan. Pertandingan Akhir tersebut akan berlangsung di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 26 Ogos 2009.

Apabila ditanya mengenai rahsia kejayaannya , guru penasihatnya , Puan Hanim Jasman , menyebut bahawa pemidato sekolah tersebut merupakan seorang yang sangat komited dalam latihan syarahannya. Beliau turut mengakui bahawa beliau dapat melihat perubahan dari hari ke hari pada penyampaian Ishraf sepanjang waktu latihannya. Sdr. Ishraf juga dikatakan seorang yang berani , bersungguh-sungguh dan sentiasa meminta pandangan orang lain dalam memperbaiki cara penyampaian syarahannya sepanjang waktu latihan.

Pertandingan yang menggabungkan tiga jenis aktiviti kokurikulum iaitu Koir , Choral Speaking dan Syarahan ini menyaksikan Sekolah Foon Yew , Kulai selaku tuan rumah pada tahun ini.

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda