Latihan Kawad Kebakaran Pengungsian Bangunan SRIH JB

555

kawad kebakaran srihjb 1

Program Latihan Kawad Kebakaran ( Pengungsian Bangunan)  ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Unit Keselamatan, Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Bahru. Program ini telah dirancang mengikut kertas kerja yang telah dibentangkan kepada guru dan murid pada tarikh 6 Februari dan 11 Februari 2018. Secara tidak langsung ini menilai tahap kecekapan dan sensitiviti warga sekolah terhadap situasi kecemasan seperti kebakaran.

 

Latihan kawad kebakaran diadakan pada 12 Februari 2018 yang lalu bermula pada pukul 8.55 pagi apabila loceng kecemasan (deringan panjang 3 kali) dibunyikan. Sehubungan itu, semua murid telah mengikut arahan yang diberikan oleh guru untuk ke kawasan selamat iaitu di padang sekolah setelah masing-masing mengenalpasti loceng kecemasan tersebut. Ketua-ketua dan penolong-penolong kelas membantu dan mengenalpasti bilangan murid mencukupi. Manakala, guru subjek memeriksa kehadiran murid mengikut rekod buku kehadiran murid pada hari tersebut.

latihan kebakaran pengungsian sekolah srihjb

Catatan masa yang diambil untuk murid-murid berkumpul ialah sekitar 5 minit 14 saat. Piawaian masa yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ialah 4 minit. Pihak memerhati berpuas hati dengan catatan masa yang dicatatkan oleh murid-murid walaupun tidak mencapai standard yang ditetapkan. Oleh yang demikian, kita menyarankan pihak sekolah perlu kerap mengadakan latihan ini bagi mencapai standard masa yang ditetapkan.

 

Setelah selesai Latihan Kawad Kebakaran, Ketua Unit Keselamatan 2018 Ustazah Rosiah binti Ariff menerangkan tujuan latihan kebakaran diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung tentang langkah-langkah awal bagi menghadapi kejadian kebakaran yang boleh berlaku pada bila-bila masa di bangunan sekolah.

 

Program ini berakhir pada jam 9.20 pagi. Murid-murid dibenarkan bersurai dan digerakkan secara teratur masuk semula ke dalam kelas bersama guru subjek masing-masing bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

 

Alhamdulillah Latihan Kawad Kebakaran ini berlangsung seperti yang dirancang. Walaupun terdapat segelintir murid yang tidak serius ketika menjalani latihan. Namun, latihan ini telah mewujudkan kerjasama, bantu membantu, keprihatinan dan sensitiviti seluruh warga sekolah.

KONGSI