Kenyataan Media PPH

UCAPAN TERIMA KASIH DAN SOKONG PERUNTUKAN BELANJAWAN TAMBAHAN 2019 KEPADA SAR DAN SEKOLAH AGAMA PERSENDIRIAN/SWASTA

Pusat Pendidikan Hidayah (PPH) Johor Bahru mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan yang telah menyatakan komitmen agar sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah persendirian agama diberi peruntukan dalam Belanjawan 2019.

Pernyataan ini dibuat dalam sidang akhbar selepas perasmian Ihtifal Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH) Johor Bahru dan pelancaran 30 Tahun SRIH JB pada 17 November 2018. YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sekali lagi membuat penegasan hal yang sama dalam majlis sidang akhbar selepas merasmikan forum Bahasa Jiwa Bangsa di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 21 November 2018.

PPH Bhd selaku institusi pendidikan persendirian/swasta agama yang tidak berasaskan keuntungan menyokong kuat usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama persendirian diberi peruntukan dalam Belanjawan 2019.

SRIH JB dan SRIH Pasirris di Batu Pahat yang bermula penubuhannya pada 1989 dan 2016 masing-masing, telah dapat melahirkan seramai lebih kurang 5802 murid sejak penubuhannya. PPH yang kini menaungi tiga institusi pendidikan agama swasta iaitu SRIH JB, SRIH Pasirris Batu Pahat dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) JB mempunyai enrolmen seramai 2146 pelajar dan kakitangan seramai 222 orang.

SRIH JB dan SMIH JB yang walaupun dalam keadaan serba daif alhamdulillah berjaya mendapat anugerah tertinggi pengiktirafan 5 bintang Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS). SRIH JB mendapat anugerah SKIPS 2015-2017 manakala SMIH JB dianugerahi dua kali SKIPS 2012-2014 dan 2015-2017 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Warga Hidayah yakin dan percaya kepada sistem pendidikan bersifat holistik, dinamik dan bersepadu yang menggabungkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah/Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSR dan KSSM) di bawah KPM dan Kurikulum Pendidikan Ikram Musleh. Nilai tambah melalui Modul Aqidah Merentasi Kurikulum (AMK), Modul Sistem Pentaksiran Pelajar Ikram Musleh (PKPIM) serta Modul Tarbiah Ikram Musleh pula mampu menyumbang ke arah pembinaan generasi pewaris tanah air yang berkualiti dan bersifat manusiawi sepertimana yang dihasratkan oleh pihak KPM juga pihak Ikram Musleh.

Sumbangan kepada pembinaan modal insan di Johor Darul Takzim khasnya dan Malaysia amnya diharapkan dapat membina kapasiti modal insan berkualiti yang dapat menyediakan pemimpin pelapis dalam masyarakat dan negara.

PPH juga mengambil inisiatif melancarkan Pusat Inovatif Hidayah di majlis Ihtifal SRIH JB pada 17 November lalu oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Johor yang bertujuan memberikan peluang dan ruang kepada para pelajar, guru dan penyelidik berkolaborasi bagi memastikan pendidikan Islam berkualiti dan relevan di era Revolusi Industri 4.0.

Pusat Pendidikan Hidayah sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Johor, MyCare, PIBG SRIH dan SMIH Johor, SJK Cina seperti SJKC Foon Yew 1, Sekolah Menengah Persendirian Cina seperti Pei Chun High School Pontian, Foon Yew High School JB, Sin Min High School Sg Petani dan di peringkat antarabangsa.

Pelbagai program dan aktiviti sama ada akademik atau bukan akademik seperti program silang budaya dan program peduli ummah dilaksanakan untuk faedah pelajar, guru dan masyarakat.

PPH tidak ketinggalan turut sama menjayakan transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysiaa 2013-2025 yang sedang memasuki gelombang kedua.

PPH berharap agar pihak kerajaan persekutuan melalui KPM memberi perhatian dan bantuan kepada institusi pendidikan agama swasta. Bantuan kewangan per kapita, buku teks percuma, pengurangan cukai, pengurangan premium cukai tanah/pintu adalah antara perkara yang sangat membantu pengurusan pendidikan sekolah agama swasta demi kemajuan dan kecemerlangannya.

Belanjawan 2019 baru-baru ini contohnya amat bersejarah kepada lebih 60 Sekolah Menengah Persendidiran Cina (SMPC) kerana telah diberikan peruntukan RM12 juta untuk institusi pendidikan ini. Begitu juga sekolah Tahfiz dan pondok yang berdaftar, menerima peruntukan yang sama.

PPH sangat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia sekiranya peruntukan yang sama diberikan kepada sekolah agama persendirian yang berdaftar. Semoga Belanjawan 2019 yang bakal diterima ini akan memudahkan pembiayaan, pembinaan dan pembangunan sekolah agama swasta sepertimana peruntukan yang telah diterima oleh SMPC, tahfiz, pondok dan lain-lain penerima sebelum ini.

Hj Hassan bin Hushin
Pengerusi Lembaga Pengelola
Sekolah Rendah Islam Hidayah dan
Sekolah Menengah Islam Hidayah
Johor Bahru

No Tel: 019 783 0402

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda