Pengenalan

2026
Saudara dan saudari yang budiman,


Pusat Pendidikan Hidayah (PPH) adalah pusat pendidikan swasta yang tidak berorentasikan keuntungan.  Operasi dan pembangunan PPH adalah hasil dari yuran pelajar dan sumbangan orang ramai.  PPH ditubuhkan semata-mata untuk memberikan sistem pendidikan alternatif berteraskan Islam yang diurus dengan professional. PPH terbahagi kepada tiga iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah Johor Bahru (SRIH JB), Sekolah Rendah Islam Hidayah Batu Pahat (SRIH BP) dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH).

 
SEJARAH AWAL

SRIH telah ditubuhkan sejak 1989 bermula dengan 12 orang pelajar dan 4 orang guru di sebuah rumah teres kediaman di Skudai, Johor Bahru.   Pada tahun kedua ia beroperasi pelajarnya telah meningkat  kepada 65 dan ini memaksa operasi SRIH dipindahkan ke tempat lain di sebuah rumah banglo di Taman Dawani, Senai, Johor.

 

PERKEMBANGAN

Permintaan yang semakin meningkat telah mendesak pihak Lembaga Pemegang Amanah (BOT ) untuk membesarkan sekolah dan beroperasi di tapak yang lebih sesuai.  Akhirnya, berkat bantuan orang ramai dari seluruh negara, serta  sumbangan tenaga sukarela yang tidak henti-henti, SRIH telah dapat membeli tanah 2.5 ekar dan mendirikan bangunan kayunya sendiri.

Pada tahun 1991 SRIH telah berpindah ke tapak tetapnya dengan tenaga kerja ketika itu seramai 11 orang, mendidik pelajar ketika itu seramai 87 orang. Sejak berpindah ke tapak tetapnya, SRIH semakin dikenali ramai dan menjadi antara pilihan ibu bapa sekitar Johor Bahru dan Singapura untuk menghantar anak mereka mendapat pendidikan di SRIH.  Sehingga tahun 2000, pelajar SRIH telah bertambah pada kadar 37% setahun.  Lihat statistic tahunan.  

 

PENUBUHAN SEKOLAH MENENGAH

Perkembangan memberangsangkan SRIH telah meyakinkan Lembaga Pemegang Amanah (BOT ) untuk menubuhkan sekolah menengah.  Pada sessi 1995/96 Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) telah ditubuhkan.  Setelah 2 tahun beroperasi,  SMIH mendapat sambutan melebihi kadar tahunan SRIH.  Kini SRIH dan SMIH telah diletakkan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai Sekolah Islam Hidayah.

 

STATISTIK TAHUNAN

Perkembangan menggalakan SRIH dan SMIH boleh dilihat melalui statistik bilangan pelajar mengikut tahun. Sila click Statistic Tahunan Pelajar SRIH dan Pelajar SMIH untuk mendapat maklumat lanjut.

 

 

 

 
APA STATUS SEKOLAH?
SRIH dan SMIH adalah sekolah yang menawarkan pendidikan bersepadu mengabungkan matapelajaran akademik dan Deeniah.  Ia beroperasi tanpa bantuan kewangan kerajaan sebaliknya semata-mata bergantung kepada bantuan orang ramai dan bayaran yuran pelajar.Walau bagaimanapun SRIH dan SMIH tetap mendapat pengiktirafan kerajaan apabila diterima pendaftarannya di bawah Kementerian Pelajaran dan Majlis Agama Islam Johor.   SRIH dan SMIH telah diterima mengendalikan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.
          
PEMILIKAN SEKOLAH

PPH ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah ( BOT ) yang didaftarkan di bawah Pendaftar Syarikat (ROC) atas nama Pusat Pendidikan Hidayah Berhad (525008-P), selaku pemilik kepada sekolah.  PPH didaftarkan sebagai “non profit making company”.  BOT berperanan menentukan dasar dan polisi PPH.  Urusan pentadbiran harian sekolah pula dikendalikan  oleh Lembaga Pengelola Hidayah (LPH).

KEDUDUKAN TERKINI (2013)

Pada tahun 2013, SRIH mengendalikan 32 kelas. Tahun 2 hingga 6 masing-masing mempunyai 5 kelas.  Mulai tahun 2013, Tahun 1 ditingkatkan pengambilannya dari 5 kepada 7 kelas.

Kini SRIH mempunyai 1,132 pelajar dan 74 orang guru.

SMIH pula mempunyai 650 pelajar dan 62 orang guru.

SRIH dan SMIH kini menjadi antara pilihan ibubapa mendapat pendidikan Islam untuk anak mereka. Kini, pelajar SRIH dan SMIH bukan sahaja berasal dari Johor, tetapi juga Sarawak, Sabah, Brunei, Singapura dan Indonesia. 

 

KEMUDAHAN BANGUNAN

Semua bangunan yang dibina di Sekolah Islam Hidayah adalah hasil sumbangan orang ramai. Pada tahun 1999, buat kali pertama,  PPH juga telah berjaya membina bangunan 4 tingkat. Ia dapat menempatkan 21 bilik darjah, bilik guru dan bilik air yang selesa.  Ia mula digunakan pada sesi persekolahan 2002.

Pada tahun 2007 pula, PPH telah berjaya menyiapkan pembinaan sebuah surau tetap di perkarangan sediada. Projek ini dinamakan Kompleks Surau dan Tahfiz Hidayah.  Bangunan struktur konkrit 3 tingkat ini menempatkan surau lelaki, surau perempuan, 9 kelas pengajian, bilik mesyuarat, ruang makan dan ruang pelbagai guna. Pembinaanya telah dimulakan pada 18 Dec 2006 dan dapat digunakan sepenuhnya pada April 2007.  Ia telah menelan belanja RM 800,000.00.  Dengan terbinanya surau ini, masalah kesesakan surau lama yang digunakan oleh 1,530 orang pelajar pada masa itu telah dapat diselesaikan.

Pada tahun 2010, PPH membina pula bangunan 3 tingkat untuk SMIH. Pembinaan telah dimulakan pada Desember 2010 dan dijangka siap pada Dec 2011. Angaran kos RM 1.265 juta.

PPH juga berjaya membina Bangunan bengkel untuk SMIH. Ia menempatkan 4 bengkel pertukangan iaitu pertukangan Kayu, Elektronik, Jahitan dan Perpaipan. Kos pembinaan menelan belanja lebih RM 300,000.

Pada Nov 2012, PPH membina pula bangunan 3 bilik darjah untuk SRIH. Bangunan ini dapat disiapkan dalam masa 45 hari dan mula digunakan pada awal sesi persekolahan 2013.

Pada tahun 2013, PPH merancang untuk membina bangunan 4 tingkat untuk kegunaan SRIH. Bangunan ini dijangka menelan belanja RM 2.4 juta. Segala perancangan arkitek dan jurutera telah pun siap. Pihak sekolah kini sedang mengumpulkan dana untuk membina bangunan ini. Dengan siapnya bangunan ini dijangka dapat menyediakan 21 bilik darjah yang akan digunakan untuk pelbagai kemudahan untuk SRIH.

 

 

PEPERIKSAAN DITAWARKAN

SRIH menawarkan 2 peperiksaan ketika pelajar di tahun 6 iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Syahadah Pentaksiran Pelajar IKRAM-MUSLEH (SPPIM). UPSR dan SPPIM dikendalikan sepenuhnya masing-masing oleh Kementerian Pelajaran dan MUSLEH.

Di SMIH pula pelajar akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semasa tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa di t=tingkatan 5. Kedua-dua PMR dan SPM dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

 
PENCAPAIAN

Pertama kali SRIH mengendalikan UPSR pada tahun 1991, 13 daripada 19 orang calunnya telah mendapat keputusan penuh 4A.

Pada tahun 2003, SRIH telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik atas pencapaiannya sebagai Sekolah Swasta Terbaik Seluruh Johor dan Sekolah Swasta Ke 3 Terbaik Seluruh Malaysia. Pada tahun 2003 juga, SMIH pula telah mendapat Anugerah Akademik Terbaik atas pencapaian Sekolah Terbaik Seluruh Johor dan Sekolah Swasta Ke 4 Terbaik Seluruh Malaysia. Pengiktirafan ini telah diberikan oleh Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada 2006, pelajar SMIH telah diiktiraf sebagai antara pelajar terbilang seluruh Malaysia apabila berjaya mencapai keputusan 12 1A dalam SPM 2005.

Pada April 2009, SMIH telah mencipta sejarah cemerlang dalam pertandingan debat antara sekolah-sekolah seluruh Malaysia di UIA.  Pada pertandingan tersebut, pasukan debat Bahasa Melayu telah mendapat johan dan Bahasa Inggeris pula naib johan.  Kejayaan berganda ini telah mengejutkan semua pihak terutamanya sekolah-sekolah berasrama penuh ternama yang setelah sekian lama cemerlang dalam arena perdebatan.

 

PERANCANGAN MASA DEPAN

Keluasan tanah 2.5 ekar yang telah dipenuhi dengan bangunan memaksa SIH untuk menambah tanah bagi kegunaan padang permainan dan ruang letak kereta.   Pihak Lembaga Pemegang Amanah telah merancang tapak tambahan yang berjiran dengan Sekolah Islam Hidayah seluas 6 ekar.  Perbelanjaan tanah dan bangunan dianggarkan sebanyak RM 1.5 juta.

Sejajar dengan hasrat menyediaan ruang yang selesa kearah pendidikan yang bermutu, juga di samping permintaan kemasukan ke PPH yang terus meningkat, pihak PPH kini merancang untuk membina satu lagi blok bangunan 3 tingkat untuk SRIH. Kos pembinaan ini dianggarkan bernilai RM 1.5 juta.

Pihak  Jawatan Kuasa  DANA HIDAYAH bersama-sama PIBG SRIH dan SMIH kini bertungkus lumus mengumpulkan dana. Ini untuk mempastikan setiap proses pendidikan Islam yang dianjurkan oleh PPH dapat dilaksanakan dengan sempurna.

 

INGIN MEMBANTU?

Jika saudara/i boleh bersama membantu, tuliskan cek/kiriman wang atas nama DANA HIDAYAH dan hantarkan sumbangan kepada;

Jawatankuasa Kerja
DANA HIDAYAH
Sekolah Islam Hidayah
Kampung Sinaran Baru
81300 Skudai, JOHOR, MALAYSIA.

Sekian, sekali lagi terima kasih di atas perihatin saudara/i.
Semoga Allah memudahkan semua urusan kita.

BERSAMA MEMBINA GENERASI MUSLIM
Sekolah Islam Hidayah

http://www.hidayah.edu.my

http://www.facebook.com/SekolahIslamHidayah

 

 

 

KONGSI