Kenyataan Media PPH Tragedi Menyayat Hati 8 Remaja Berbasikal Maut Dirempuh Kereta

Pusat Pendidikan Hidayah Bhd (PPH) yang mengendalikan sekolah rendah dan menengah Islam Hidayah merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris mangsa kemalangan yang mengorbankan lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.

PPH berharap seluruh keluarga dan waris mangsa yang terbabit agar bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Seluruh warga PPH mendoakan agar mereka yang tercedera dalam kejadian itu segera kembali pulih.

Adalah diharapkan kejadian yang mendukacitakan ini tidak berulang kembali. Kesemua mereka ini adalah anak-anak remaja yang menjadi aset negara. Kita perlu memastikan agar anak-anak remaja mendapat kasih sayang secukupnya daripada keluarga dan setiap aktiviti mereka pula dipantau agar kejadian seumpama ini dapat dibendung. Anak-anak remaja tersebut sepatutnya sedang tidur nyenyak di rumah masing-masing dan akitviti lasak seumpama itu sepatutnya dilakukan secara terkawal pada waktu siang, bukan jam 3.00 pagi dan di luar kawalan keluarga.

Kita berharap pihak sekolah khususnya dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran dalam kalangan remaja melalui pelbagai program kesedaran seperti kempen keselamatan jalan raya, program sayangi diri dan keluarga atau seumpamanya.

Pihak berkuasa pula diharap dapat memperketatkan kawalan keselamatan jalan raya bagi memastikan kejadian seumpama itu dapat dicegah lebih awal. Undang-undang atau peraturan yang sesuai pula harus diwujudkan agar keluarga, pihak penguat kuasa, sekolah dan seumpamanya dapat membantu merealisasikan tahap kesejahteraan semua pihak.

Mohd Jelani Bin Ramly
Ketua Eksekutif
Pusat Pendidikan Hidayah

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda