SMIHJB : ROUMMAH 2020 di musim Pandemik Covid-19 bertemakan “You Feel I Feel”

Khamis,17 Disember 2020| Alhamdulillah telah berlangsung dengan jayanya majlis penutup program Remembrance Of Ummah (ROUMMAH) bagi tahun 2020 secara dalam talian. Program anjuran pihak Majlis Perwakilan Pelajar ini  bertemakan “You Feel I Feel” telah berjalan dengan jayanya walaupun menempuh pelbagai halangan seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa musim Pandemik Covid-19 bermula dari 15 September sehingga 10 Disember 2020.

Seawal penganjuran, pihak ROUMMAH telah merancang pelbagai aktiviti untuk dijalankan sepanjang program berlangsung tetapi perancangan Allah ternyata lebih baik. Hanya beberapa aktiviti yang dapat dijalankan antaranya bacaan audio doa qunut nazilah dan dendangan lagu ummah yang menjadi halwa telinga warga Hidayah pada awal pagi sebelum bermulanya sesi tilawah. Selain itu, pameran isu semasa, aktiviti di media sosial seperti What’s Happened (WH), bingo IG dan relay reminder. Tidak ketinggalan juga aktiviti jualan amal turut diadakan sepanjang program.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kutipan harian sepanjang sesi persekolahan dilaksanakan disamping aktiviti pertandingan One 3 4 Them yang merupakan pertandingan kutipan wang daripada setiap tingkatan. Alhamdulillah, jumlah kutipan sepanjang program ROUMMAH berlangsung adalah sebanyak RM 17 945 hasil sumbangan para guru, para murid dan ibu bapa yang dermawan .

Program ROUMMAH pada tahun ini lebih segar dengan idea baharu. Antaranya pertandingan Keluarga Penyayang (KP Snap) yang mana mentor akan bergambar bersama mentee dengan bertemakan ROUMMAH. Pelbagai gaya yang menarik telah dipaparkan mengikut kreativiti setiap kumpulan KP bersama-sama guru mentor mereka tanpa mengabaikan SOP yang telah ditetapkan.  Selain itu, pihak ROUMMAH menjalankan kutipan secara dalam talian sesuai dengan situasi pandemik Covid-19 yang menyarankan agar masyarakat sentiasa berhati-hati dan menjaga penjarakan diri. Kutipan secara dalam talian ini memberi peluang dan ruang buat penyumbang yang dermawan untuk menghulurkan sumbangan tanpa mengira sempadan dan dimana mereka berada.

Jazakumullah khairan kathiran kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ROUMMAH bagi tahun 2020 terutamanya kepada puan pengetua, barisan PK, guru penasihat , AJK pelaksana program ROUMMAH 2020, para guru, para murid, ibu bapa, para penyumbang budiman serta tidak dilupakan pihak MyCARE yang tanpa jemu dan lelah memberikan sokongan moral untuk menjayakan program tahunan ini. Semoga Allah memberkati setiap usaha kita untuk membantu saudara-saudara Islam di luar sana.

Kongsikan Kiriman Ini

Navigasi Pos

Tinggalkan Komen Anda