SMIHJB: Kluster PUI Sivagangga, Pelaksanaan TEMCO Disokong

0
278

SMIHJB| Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) sangat memandang serius dan menyokong penuh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) di empat
mukim di negeri Kedah yang terjejas dengan pandemik COVID19. Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, TEMCO melibatkan kawalan pergerakan keluar masuk orang awam pada radius satu kilometer dari sebuah restoran nasi kandar di Pekan Napoh dalam daerah Kubang Pasu.

    Bagi tujuan mencegah penularan COVID19, sebanyak lima buah sekolah di mukim yang terjejas telah diarah tutup berkuatkuasa serta merta mulai 3 sehingga 29 Ogos, mengambil kira tempoh 14 hari kuarantin dan 14 hari lagi bagi tujuan pemerhatian. Ini ditambah dengan penutupan ratusan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) serta pusat Tadika swasta dan persendirian di daerah Kubang Pasu.

    Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) menzahirkan rasa simpati dan solidariti kepada semua warga pendidik dan pihak sekolah yang terjejas pengoperasiannya kesan daripada penularan dan peningkatan kes kluster Sivagangga ini. Diharap dengan penutupan sementara ini dapat dimanfaatkan bagi pelaksanaan proses pembersihan dan nyah kuman mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) juga turut memandang berat sikap tidak bertanggungjawab pemilik kedai nasi kandar yang juga pemaustatin tetap dan baru balik dari India tapi telah mengingkari perintah 14 hari kuarantin wajib di rumah. Sehubungan itu, langkah kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan kembali rakyat yang baru pulang dari luar negara
ke pusat-pusat kuarantin wajib ditetapkan adalah amat dipuji dan disokong.

     Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) menyeru keprihatinan dan sikap peduli rakyat Malaysia agar terus teguh bersama membendung dan mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 dalam masyarakat dan di negara kita yang tercinta ini. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

#kamijagaanakmuridkami #cegahCovid19 #kitateguhkitamenang

Isharuddin bin Ismail
Pengerusi
Majlis Pengetua Guru Besar
Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM)
3hb Ogos 2020

Sumber daripada: _KENYATAAN_MEDIA_MPGBSIM_