SMIHJB: Lawatan Sambil Belajar Perkhemahan Antarabangsa Pengakap Sekolah-Sekolah Islam Swasta 2019 (IPSISC’19), Satun, Thailand.

0
386

SMIHJB| Pada 20 November 2019, kira-kira jam 10.15 malam, seramai 26 pelajar tingkatan 1-4 SMIHJB diiringi 3 orang guru KRSM Musleh, SMIHJB telah bertolak ke Pusat Pendidikan Al-Azhar (PPZ), Jitra, Kedah untuk menyertai program Misi Dan Lawatan Sambil Belajar Perkhemahan Antarabangsa Pengakap Sekolah-Sekolah Islam Swasta 2019. Program ini adalah satu program tahunan kerjasama KRS Musleh, Malaysia, Lukseua Assalam, Thailand dan PRAMUKA SIT, Indonesia.

        Kontinjen Malaysia SMIHJB, sampai di PPZ kira-kira jam 9.30 pagi, 21 November 2019. Pada sebelah petang diadakan sesi taklimat dan pembahagian kumpulan yang terdiri daripada seorang guru pengiring dan peserta yang terdiri daripada semua Sekolah Rangkaian Musleh yang mengambil bahagian. Sarjan Muhammad Muaz bin Abu Bakar (SMIHJB) dan Koperal Nur Fathiyah Binti Shamsudin (SMIHJB) telah dipilih sebagai Ketua Kontinjen mewakili banin dan banat.  Pada sebelah malam pula, pihak KRS Musleh telah mengadakan Majlis Perasmian Pelepasan.

         22 November 2019, jam 7.30 pagi Kontinjen Malaysia bergerak menuju ke Satun, Thailand melalui Wang Kelian, Perlis. Kami selamat melepasi sempadan Malaysia-Thailand kira-kira jam 11.45 pagi waktu dan sampai di Pakbang Scout Camp kira-kira 12.13 tengahari waktu Malaysia. Kehadiran kami disambut dengan penuh ramah oleh pihak Lukseua Assalam, Thailand. Pada sebelah petang diadakan Majlis Perasmian melibatkan semua kontinjen Malaysia, Thailand dan Indonesia. Pada sebelah malam peserta menjalani aktiviti sesi taaruf dan bertukar cenderamata dengan rakan-rakan dari Thailand dan Indonesia.

        23 dan 24 November 2019, Kontinjen Malaysia dibahagikan kepada 3 kumpulan berbeza yang akan menjalani aktiviti berbeza pada satu-satu masa. Antara aktiviti menarik yang disertai Kontinjen Malaysia ialah The King’s Philosophy, ASEAN, Pioneer activity dan Archery. Semasa aktiviti The King’s Philosophy, peserta didedahkan tentang usaha Raja Bhumibol Adulyadej untuk membangunkan ekonomi rakyat Thailand melalui pertanian, penternakan, sumber diperbaharui, dan perancangan kawasan perumahan. Peserta juga berpeluang menghasilkan sendiri sabun Sunlight. Dalam aktiviti ASEAN pula, peserta bermain beberapa permainan yang bersifat team building di samping aktiviti berbentuk ilmiah yang memberi peluang peserta memahami budaya Negara-negara ASEAN. Paling menarik ialah Pioneer activity kerana pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu ikatan untuk menghasilkan mesin perang iaitu meriam. Untuk aktiviti Achery atau memanah, aktiviti ini dijadikan aktiviti bebas bagi semua peserta. Malam 23 November, diadakan aktiviti Bicara Keagamaan. Malam 24 November 2019, diadakan aktiviti Malam Kebudayaan dan Majlis Penutup secara rasmi. Kontinjen Malaysia SMIHJB dan SMI Islah bergabung tenaga mempersembahkan BaSeD. Ketua Kontinjen Malaysia, Sarjan Muhammad Muaz bin Abu Bakar berpeluang menyampaikan ucapan pada malam penutup ini.

25 November 2019, Kontinjen Malaysia bertolak meninggalkan kawasan perkhemahan menuju ke kawasan jeti yang menghubungkan Satun dan Pulau Langkawi. Di sini kami berhenti makan sambil menikmati panorama laut terbentang luas. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Kilang Belacan di sebuah perkampungan dan berhenti solat di perkampungan tersebut. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke tempat penginapan kami. Tempat penginapan bagi banat ialah Yayasan Anak-anak Yatim Emerites, Satun, Thailand manakala banin menginap di Masjid Muhammad al-Hashimi, Satun, Thailand. Reka bentuk masjid ini diilhamkan daripada reka bentuk Masjid al-Aqsa di Palestin dan merupakan wakaf daripada rakyat Malaysia  bernama Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

       26 November 2019, Kontinjen Malaysia bertolak ke Satun National Museum untuk menjejaki riwayat hidup Tunku Kudin yang digelar Raja Setul. Malangnya, muzium ini tutup. Kami meneruskan lawatan ke Perusahaan Membuat Popia Simpul Kasih. Di sini kami disambut mesra oleh pengusaha dan pekerja-pekerja yang rata-ratanya adalah penduduk sekitar. Peserta berpeluang membuat sendiri Popia Simpul Kasih dan boleh membeli produk ini dengan harga berpatutan. Kami meneruskan perjalanan ke Wang Kelian dan sempat membeli-belah di situ sebelum memasuki sempadan Malaysia-Thailand dan berangkat pulang ke PPZ. Sampai di PPZ kami mengambil kesempatan berehat dan khidmat diri sebelum bertolak pulang ke SMIHJB pada pukul 8.30 malam,

  27 November 2019, 6.15 pagi, Kontinjen SMIHJB sampai di SMIHJB dengan selamat. Sesungguhnya, ini merupakan pengalaman yang sangat menarik dan berharga buat peserta dan guru-guru pengiring. Program ini diharap dapat membentuk nilai-nilai murni dan jati diri dalam diri peserta untuk melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, beriman, berakhlaq mulia dan mampu memimpin masyarakat sesuai dengan tuntutan al-Quran dan As-Sunnah. Sekalung tahniah dan jutaan terima kasih buat ibu bapa yang memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah dan membenarkan anak-anak ini menyertai misi ini. Jutaan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi peluang dan menyokong usaha ini. Semoga pada masa akan datang, lebih ramai murid dapat merebut peluang menyertai program sebegini.